Link: Guru Perlu Ada Ilmu Psikologi
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata cara didikan pelajar masa kini tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa disuntik elemen tertentu yang boleh ‘mematahkan’ sikap degil pelajar.
Memang tak boleh dilakukan secara semberono. Memang perlukan pendekatan yang bersesuaian. Tapi, dek kerana bebanan tugas seorang guru yang makin hari makin meningkat, dapatkah guru memberikan fokus yang baik untuk menyuntik elemen yang dimaksudkan. Pada pendapat saya, guru kaunseling memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Guru kaunseling wajib ditempatkan di setiap sekolah dan merangka program-program yang bersesuaian dengan peredaran masa. Guru kaunseling bukan perhiasan atau sekadar ada di sekolah. Hari ini, mereka memainkan peranan yang sangat penting dalam mematah sikap degil pelajar.
“Melihat rentak sebilangan pelajar hari ini, memang menakutkan kerana mereka sangat ekstrem hingga mampu melahirkan keberanian tanpa batasan.
Tidak dinafikan, pelajar hari ini sangat ekstrem, sanggup melakukan apa saja. Mereka tidak memikirkan kesan jangka masa panjang dek kerana perbuatan mereka. Apa yang menjadikan mereka ekstrem? Kejam? Berani tak bertempat? Banyak pengaruh sekeliling seperti tayangan cerita-cerita berunsur ganas di TV, di panggung wayang dan sebagainya. Hari ini, kita tengok la di panggung, berapa banyak cerita ganas disiarkan? Orang Melayu sendiri yang buat cerita macam tu. Memang setiap cerita ada pengajarannya yang tersendiri. Tapi adakah pengajaran itu sampai kepada penonton? Ada yang menganggap ia hiburan semata-mata. Apa perasaan anda sebagai guru atau ibu bapa bila anak murid menjerit, LU LANGSI LU MATI.....!!! hmm..........
“Ada kalanya, masyarakat suka menyalahkan guru dan sekolah kerana tidak bertindak namun kesalahan itu tidak wajar diletakkan pada bahu golongan terbabit semata-mata.
Hmmm..memang ini yang terjadi. Cara mudah...ibu bapa menyalahkan guru atau sekolah jika anak mereka tak ketahuan. Sedangkan tanggungjawab mendidik bukan hanya tanggungjawab guru, malah IBU BAPA adalah manusia paling penting dalam mencorakkan generasi kelahiran mereka.
“Masyarakat perlu akur, senario pendidikan sekarang terlalu banyak ‘pantang larang’ hingga menyukarkan segala tugasan yang ingin dibuat.
Banyak kekangan, tiada apa yang boleh dilakukan. Silap cara, silap kata, walau satu perkataan, boleh menerima kesan yang berpanjangan. Jadi, untuk keselamatan, tindakan apa yang terbaik selain membiarkan sahaja. Sekadar memberi teguran. Bukan semua orang mampu menerima teguran dengan positif. Tegur dengan cara baik pun belum tentu memberikan jaminan ia berkesan untuk menginsafkan seseorang, malah mungkin menyebabkan berlakunya masalah lain.
“Namun, itu bukan alasan mereka tidak mengambil tindakan cuma caranya saja tidak bersesuaian dengan jiwa pelajar,” katanya mengakui guru hari ini perlu belajar cara terbaik untuk menakluk tentangan pelajar.
Cara apa yang bersesuaian? Tolong beritahu kepada kami yang tak tahu ni. Maklumlah, bila bebanan kerja semakin bertambah, otak tak daya nak memikirkan apa cara yang bersesuaian. Bila tubuh dah penat dengan komitmen lain yang banyak, memang tak dapat nak berfikir dengan baik. Mungkinkah guru kaunseling dan guru displin boleh duduk semeja memikirkan tindakan yang bersesuaian.
“Malangnya, ramai guru terlupa hingga menyebabkan pelajar melihat hukuman itu seolah-olah misi ‘balas dendam’ dan melepaskan perasan benci hingga menjadikan mereka terus memberontak.
“Berdasarkan pengalaman dan kajian, saya percaya jika guru pandai menggunakan budi bicara, pelajar boleh menerima dan mampu diubah. Cuma tidak boleh mengharapkan keajaiban berlaku sekelip mata sebaliknya perlu berterusan dan disertai doa,” katanya.
Tidak semua orang mampu menggunakan budi bicara untuk menyelesaikan masalah. Teknik budi bicara yang berkesan ini kadangkalanya adalah satu anugerah. Tak semua orang memiliki anugerah itu. Kalau semua mampu menggunakan budi bicara dalam menyelesaikan masalah, tak perlu ada undang-undang pada hari ini. Masalah pelajar hari ini langsung berbeza dengan masalah pelajar dahulu. Pelajar sekarang mudah memberontak dan cepat marah serta lebih kreatif dalam melakukan kejahatan. Pelajar dah berani mengebom di kawasan sekolah, berani tumbuk guru, itu belum dikira dengan kata-kata makian dan hinaan terhadap guru, merosakkan harta benda guru dan sebagainya. Dapatkah budi bicara menyelesaikan permasalahan yang sebegini? Dari awal tahun hingga kini pertengahan tahun, tidak membuat latihan, acapkali ditegur tapi bagaikan mencurah air ke daun keladi, apakah budi bicara yang sesuai bagi menyelesaikan masalah sebegini?
Faktor penyumbang masalah disiplin pelajar:
Kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa pada era globalisasi kerana lebih mengutamakan kerjaya hingga lupa tanggungjawab mendidik anak.
Ini jelas, ibu bapa sibuk dengan urusan kerja masing-masing. Zaman dahulu, hanya bapa yang keluar bekerja. Zaman sekarang menuntut ibu dan bapa sama-sama keluar bekerja dek kerana harga keperluan semakin meingkat dan kos kehidupan semakin tinggi. Nak tak nak, mesti bekerja untuk mendapatkan pendapatan menyara keluarga.
Kemunculan media massa serta sumber bacaan tanpa batasan hingga menyebabkan pelajar ingin meniru dan mencuba.
Media massa semakin hari semakin tak berfaedah dan banyak memberikan pengaruh yang tidak baik. Terutamanya media hiburan baik dari segi pakaian, moral dan sebagainya. Pelajar mudah meniru dan mencuba, apabila ditegur akan menimbulkan konflik.
Pengaruh rakan sebaya kerana menganggap rakan sebagai rakan sebenar lantaran ibu bapa sukar meluangkan masa untuk mendengar atau berdampingan dengan anak.
Banyak masa dihabiskan dengan rakan sebaya. Malah jelas dan nyata ada anak yang memenangkan kawan sendiri dan sanggup bertengkar dengan ibu bapa kerana kawan. Situasi ini memang memberikan kesan yang tidak baik sekiranya kawan itu bukan kawan yang baik. Sanggup bergadai kerana kawan. Oleh itu, didikan awal dan corak kepimpinan keluarga perlu diterapkan sejak kecil lagi.
Kegagalan pihak sekolah untuk bertindak pantas dan telus kerana ada sebilangan cuba merahsiakan masalah disiplin yang berlaku.
Kalau nak dibongkarkan semua, lain jadinya nanti. Memang ada sesetengah isu yang dirahsiakan.
Ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai atau menarik hingga pelajar lebih gemar menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.
Memang banyak program yang boleh dilakukan, tapi dek kerana kekangan kewangan, tenaga pekerja dan masa. Bagaimana nak melakukan aktiviti yang menarik di sekolah jika tidak ada peruntukan? Sedangkan aktiviti ko-korikulum pun ada pelajar yang memberikan alasan ibu bapa saya tak dapat hantar saya sebagai alasan tidak hadir. Siapa yang nak melaksanakan semua program tersebut kalau bukan guru? 24jam guru bekerja. Dalam tidur pun boleh termimpikan kerja. Kalau tiap-tiap hari diadakan program selepas sekolah, memang kelesuan jadinya.
Masalah displin pelajar hari demi hari memang semakin membimbangkan. Apa yang mampu kita lakukan dalam ruang yang terhad ini? Apa yang boleh dilaksanakan dengan kekangan undang-undang pada hari ini?
Semua pihak memainkan peranan yang sama banyak dan sama penting. Bukan hanya pihak guru atau pihak sekolah sahaja, malah masyarakat perlu bekerjasama dalam membendung permasalahan begini. Didikan awal memberikan kesan kepada tumbesaran pemikiran seseorang. Terlalu ramai ibu bapa bertindak sebagai penyelamat apabila anak melakukan kesalahan. Dan kebiasaan ini akan memberikan kesan yang tidak baik kepada perkembangan anak-anak.