Malam jumaat?? Malam yang menakutkan ke?? Ada yang berpendapat malam yang menyeronokkan?? ye ke?? Hahaha....
Malam jumaat yang lalu, aku dan adik menonton cerita Keliwon di TV3, tentang pelesit. Lepas habis cerita tu, aku malayari internet. Jam 1145malam aku rasa mengantuk sangat. Aku lihat adik dah tertidur di depan televisyen. Aku pun baring dan terlena tanpa menutup komputer.
Tak lama kemudian, aku terdengar suara mak aku, lebih kurang pukul 1 pagi.
"Along, adik pergi ke mana??" Tanya mak aku dengan nada risau. Aku pun bangun dan melihat tempat tidur adik aku tadi. Sah! Memang tak ada. Aku dan mak mula mencari di sekitar rumah. Tiada juga.
"Ma, cuba tengok pintu belakang..ntah-ntah keluar lalu pintu belakang?" Kami berdua ke dapur dan sahih pintu belakang telah dibuka. Masa ni berderau darah masing-masing. Apakah yang telah berlaku??
"Ayah, adik tak ada ni yah..pintu belakang terbuka. Dia keluar lalu pintu belakang ni.." Aku dan mak dah mula risau. Adakah sesuatu telah berlaku?? Kami lihat selipar/kasut dan seluar dia semua ada. Kipas je adik tak tutup..Ke mana adik ni???? Pelbagai persoalan menerjah ke kepala masing-masing.
Ayah cuba menghubungi adik menggunakan telefon mudah alih, tetapi tidak berjawab. Kemudian ayah menghantar sms yang kami akan report polis sekiranya dia tidak balas sms tersebut. Adik balas, jap lagi balik. Ayah hantar lagi, adik jawab jap lagi la...Ayah dan mak tak sedap hati, mereka meronda keluar ke rumah, malah sampai ke pekan tetapi tidak berjumpa dengan adik.
Masa ni aku dah rasa berdebar-debar. Teringatkan orang di taman ini ada yang terjumpa makhluk tanpa kepala. Dan hasrat adik aku yang nak melihat makhluk ini. "Hm kalau bawa kamera ni boleh kot amik gambak makhluk tu...". Aku ingat lagi, ada beberapa dialog adik yang menyatakan keinginannya nak tengok sendiri makhluk itu.
Aku minta mak dan ayah pergi ke tempat makhluk itu pernah dilihat. Di sebuah kereta lama di hujung taman ini. Mak ayah kata tak ada di sana.
Oleh sebab adik ada balas sms sebelum itu, kami menganggap adik keluar dengan kawannya. Walaupun terasa aneh tapi cuba menyedapkan hati masing-masing. Aku berjaga juga sehingga pukul 3.30pagi. Masa aku baring di tempat tidur, aku terasa mata ni layu sangat. Saat ni lah aku perasan komputer aku restart sendiri. Ah biarkanlah kata aku...lalu tertidur.
Bersambung...
Ayah dan mak memang biasa bangun awal sebab masak memasak untuk berniaga. Semasa ayah sedang kemas van di belakang dapur, tiba-tiba.....
"Ayah!!! Hantu!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!" Adik menjerit, berlari ketakutan lantas memeluk ayah. Ayah terus memegang adik lantas menolak adik masuk ke dalam rumah.
"Mana hantu????" Jerit ayah. Ayah pun melaungkan azan sambil memegang kayu.
Saat ini aku dah sampai ke dapur sebab terjaga dengan bunyi bising. Di dapur aku melihat mak aku dah sedang memegang adik aku sambil membacakan ayat-ayat suci Al-Quran termasuk ayat kursi dan memberikan adik minum air Yasin.
Adik menangis-nangis ketakutan. Aku pun melihat keadaan adik. Memang sah dia keluar tanpa baju dan selipar. Dia keluar dengan seluar pendek dan berkaki ayam. Aku menjangkakan sesuatu yang pelik telah berlaku. Aku lihat badan adik menggeletar hebat, jari-jarinya mengerekot seperti mengeras. Selepas keadaan tenang sedikit, mak mandikan adik dengan air yasin. Selepas mandi, adik diam membisu, termenung seperti orang kebengongan. Bila ditanya sukar untuk menjawab. Muka pucat lesi dan ketakutan masih terserlah. Adik memandang ke siling rumah.
"Jangan pandang-pandang atas tu, pandang muka mama ni! Ko ke mana semalam??" Tanya mak kepada adik.
Adik diam..dan terus diam. Dia cuma cakap beberapa patah perkataan dan mak suruh dia tidur.
Ayah menghubungi Ustaz Sabri untuk melihat keadaan adik. Risau juga kalau berlanjutan dan semangatnya kelihatan lemah. Ustaz pun datang ke rumah melakukan apa yang patut. Masa ni aku tak keluar bilik. Takut ke? Entah...
Selepas Ustaz balik, adik tertidur lena di kerusi panjang. Aku lihat air mukanya sudah berubah. Pucat tu dah kurang, malah tangannya tidak tergenggam seperti awal pagi tadi. Alhamdulillah!
Petang kami ke rumah ustaz ni, untuk rawatan susulan. Alhamdulillah, adik dah nampak makin sihat dan cergas. Sudah mahu berbual dan bergelak-gelak dengan orang. Syukurrrr..........
Apa yang telah berlaku sebenarnya.....
Bersambung.....
"Erwan.....Erwan......Erwan......." Adik kata, semasa dia tidur, ada suara memanggil namanya di belakang rumah dengan kuat. Adik tanya, " Takkan tak dengar, kuat tu dia panggil."
Adik pun bagai dipukau katanya, dia ke dapur lalu membuka pintu belakang rumah lalu terus mengikut makhluk yang memanggilnya. Makhluk ini menyerupai seseorang. Aku tak pasti rupa siapa makhluk ini sebab adik tidak menggambarkan rupanya macam mana. Tak apalah, aku pun tak nak tahu. Takut terbayang-bayang...
Kata adik makhluk itu membawanya ke kereta lama di lorong belakang rumah kami. Selang 3-4 buah rumah dari rumah kami. Di sana adik tertidur di atas bonet depan kereta tersebut. Kereta ni milik jiran kami yang telah tersadai lama.
Adik tidak menceritakan apa yang dia lakukan dengan makhluk itu. Cuma dia kata, ada 3 ekor semuanya. 1 ekor bersama dengannya, 2 ekor lagi berada di atas bumbung sedang memerhatikannya.
Lepas balas sms ayah dalam keadaan mamai atau khayal (mungkin adik ingat ini adalah mimpi), dia tertidur di atas bonet tersebut. Apabila subuh hampir tiba, adik terjaga. Saat inilah dia ternampak rupa sebenar makhluk itu dengan matanya sendiri dan kewarasan yang ada. Dia terkejut lalu berlari ketakutan. Mujurlah dia sedar dia di mana dan tahu ke mana hendak dituju. Sebab itu dia berlari sambil menangis-nangis menjerit hantu!!! hantu!!! dan terus memeluk ayah. Menurut adik, makhluk ini tinggi nya melebihi bumbung rumah, dan berwarna hitam serta seperti kain yang melambai-lambai. Kiranya bukan objek keras la. Muka nya tidak nampak..kalau nampak pengsan agaknya.
Memang ustaz kata, semasa adik berlari balik ke rumah, makhluk ini mengejar dari belakang. Tindakan ayah melaungkan azan telah melambatkan pergerakan mereka. Ya Allah! Alhamdulillah. Kalau kena rasuk atau masuk dalam badan, memang sukar untuk berubat nanti.
Menurut ustaz, kawasan rumah kami memang laluan makhluk ini. Ada 3 ekor semuanya, bapa, ibu dan anaknya. Laluan utama adalah di atas bumbung dan kereta-kereta lama di taman ini yang tersadai berkurun-kurun memang tempat mereka bermain-main dan bersantai.
Mereka ni belaan seseorang yang ditugaskan untuk mencuri wang dan emas. Tapi bukan toyol. Tuan mereka dah mati dan sebab itu mereka merayau-rayau. Agaknya tak ada orang yang nak terima mereka ni. Tu yang merayau-rayau dan mula mengganggu ketenteraman penduduk taman ini. Dah beberapa kes terjadi, dan yang terbaru adalah kes adik aku.
Sebelum ni ayah aku pernah nampak juga. Makhluk hitam, besar tinggi sedang memerhatikannya di rumah jiran aku ketika jiran aku tidak ada. Makhluk yang sama telah mengganggu adik aku. Mahkluk-makhluk ini memang mudah untuk singgah di rumah-rumah kosong dan kereta-kereta yang tersadai lama. Memang tempat main mereka.
Ustaz membekalkan garam kepada kami. Tugas ayah dan jiran untuk merejam garam ini di sekeliling rumah dan di dua kereta lama yang tersadai termasuk di bumbung rumah yang merupakan laluan utama anak beranak ini.
Kemudian, diusulkan juga supaya adakan bacaan Yasin 44 kali semalam. Insya Allah dalam masa terdekat akan dilakukan.
Kita adakalanya terleka, terlalai dan ini memang satu pengajaran yang baik untuk mengingatkan semua. Amalkan ayat kursi di mana-mana kita berada dan sebelum tidur. Supaya tidur kita tidak diganggu benda yang bukan-bukan.
Bermuafakat sesama jiran. Jangan menyombong atau bagaikan katak di bawah tempurung. Kenalilah jiran-jiran kita supaya kalau terjadi apa-apa pada keluarga kita, ada orang yang ambil peduli. Alhamdulillah, ayah mak aku ni ramah tamah. Dapat berbaik-baik dengan semua jiran.
Percaya atau tidak..perkara-perkara begini memang berlaku. Mulut jangan celupar atau cakap besar. Makhluk-makhluk ni kalau duduk sebelah kita pun, bukan kita tahu kan.....
wallahualam.....
No comments:
Post a Comment