Sunday, August 16, 2009

Sakit dan penyakit...

Penyakit Kritikal??


Adakah anda salah seorang penghidap penyakit kritikal? Seperti kanser, sakit buah pinggang kronik, jantung berlubang dan sebagainya? Hari demi hari ada pelbagai penyakit yang timbul dan mungkin salah satu penyakit yang kronik ini terkena pada diri kita atau ahli keluarga kita.


Saya pernah menempuhi saat ketika arwah adik saya disahkan menghidap kanser. Ketika itu saya masih kecil. Apa yang saya faham tentang kanser? Yang saya tahu adik saya sakit dan memerlukan rawatan di hospital. Rambut adik saya gugur dan dia memang kelihatan sakit. Senyumannya tidak menawan lagi dan keceriaannya telah berkurangan hari demi hari. Ini mungkin disebabkan kesakitan yang ditanggungnya. Mama dan ayah merupakan orang yang benar-benar tabah menghadapi keadaan ini. Penderitaannya tidak lama, tidak sampai setahun adik kembali ke rahmatullah, bersemadi dengan aman dan tenang di alam lain.


Berapa umur adik ketika sakit? 3 tahun….kanak-kanak 3 tahun apalah yang adik mengerti tentang penyakitnya. Sedangkan saya yang kerika itu berusia 11 tahun pun tidak jelas tentang penyakit tersebut. Saat ini sokongan keluarga paling didambakan. Teringat saya kenalan ibu saya semasa menjaga adik di hospital. Anaknya menghidap leukemia. Anaknya ingin bertemu dengan ayahnya, sampai menutup mata masih tidak ketemu dengan si ayah. Bukan tiada usaha dilakukan tetapi usaha tidak membuahkan hasil. Kasihan...


Rakan belajar saya semasa di universiti juga disahkan menghidap kanser tahun lepas. Terkejut dan terkesima apabila menerima berita sedemikian. Saya tak dapat bayangkan perasaannya ketika disahkan kanser. Sedangkan suatu masa dahulu ketika doktor minta saya imbas kepala, saya dah rasa ngeri. Kenapa? Doktor syak ada tumor dalam kepala saya. Ini disebabkan saya sering pitam, kepala ini kerap terhantuk di merata-rata tempat. Pernah juga saya meraba seketika ketika berjalan kerana pandangan menjadi kelam. Kenapa ini terjadi? Sejak sekolah menengah saya mengalami perkara sebegini. Saya anggap ini perkara biasa. Mungkin ini disebabkan tekanan darah rendah. Seorang kawan belajar dari Sabah telah memberikan saya pil untuk mengatasi masalah tekanan darah rendah saya. Pil herba yang dikirim oleh ayahnya. Alhamdulillah, saya tidak lagi pitam-pitam. Dan sehingga ke hari ini, saya tidak pernah melakukan sebarang imbasan kepala.


Kita sering terbaca dan terdengar kisah orang yang mengalami penyakit kritikal ini. Tapi pernahkah kita terfikir yang kita boleh mengalami perkara yang sama akan datang? Bukan meminta untuk sakit sama tetapi mengingati. Hal akan datang memang tidak dapat dijangkakan. Bersedialah kita. Siapkan emosi dan mental untuk menghadapi sebarang jua keadaan. Hari ini kita tahu nasib orang, hari esok entah macam mana nasib kita.


Kita usah menjauhkan diri dari mereka yang berpenyakit ini. Jangan sekali-kali menganggap mereka ini menyusahkan. Berikan mereka bantuan yang terbaik agar mereka dapat bersama-sama kita menikmati kehidupan yang semakin singkat ini. Baki hidup kita semakin sedikit. Jangan kita berlengah-lengah dalam melakukan sesuatu perkara. Berdoalah semoga perjalanan hidup kita dipermudahkan dan kita mempunyai ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi segala kemungkinan.


Only the dark will teach us that light is very very stronger. Be strong, go forward and move ahead.

No comments: